KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN.
>> Saturday, July 23, 2016
KENYATAAN YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN.
Saya
sengaja mengambil sedikit masa sebelum menulis kenyataan ini untuk
memerhati gelagat pemimpin kerajaan Malaysia termasuk Perdana Menteri
dan Peguam Negara terhadap pengumuman yang amat mengejutkan oleh Peguam
Negara dan pegawai tinggi Amerika Syarikat mengenai IMDB dan tindakan
perampasan aset milik mereka yang dinamakan hasil pemindahan wang haram
yang dikatakan terbesar dalam sejarah AS, mungkin juga dunia.
Walaupun ia kes sivil yang bertujuan untuk merampas aset-aset, tetapi ia
juga merupakan bukti penipuan oleh mereka yang dinamakan. Mereka telah
mencuri wang milik IMDB! Maka ia adalah suatu jenayah!
Jika IMDB
dan Kerajaan Malaysia secara tegas mahu melindungi harta dan khazanah
rakyat Malaysia dari kehilangan atau kerugian, pendedahan yang amat
mengejutkan ini seharusnya mendorong mereka mengambil tindakan segera
mengikut undang-undang Malaysia ke atas MALAYSIAN OFFICIAL 1, Reza Aziz,
Jho Lo dan nama-nama lain yang disenaraikan dalam laporan Peguam Negara
AS.
Sebaliknya, logikkah sebagai Perdana Menteri, Najib hanya
menasihati rakyat Malaysia untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap
penemuan yang mengejutkan dunia ini dengan berkata kes tersebut
melibatkan mereka yang dinamakan sahaja dan proses perundangan masih
berjalan?
Jika Najib seorang yang beramanah dan bertanggungjawab,
apa yang dia sepatutnya kata? Mengejutkan! Ambil serius keputusan pihak
Peguam Negara Amerika Syarikat, hantar delegasi tertinggi kerajaan
untuk mendapatkan butiran terperinci dari Amerika Syarikat, tubuh sebuah
tribunal bebas untuk menyiasat dan memulakan proses pendakwaan jenayah
dengan kadar segera terhadap mereka didapati terlibat atau bersubahat
dalam pemindahan wang haram berjumlah puluhan bilion ringgit yang amat
memalukan negara. Ini kerana wang rakyat Malaysia dalam jumlah yang amat
besar didapati hilang dan dilesapkan oleh mereka yang dinamakan.
Najib juga sudah sepatutnya menghantar Peguam Negara Malaysia dan Ketua
Polis Negara ke Amerika Syarikat dengan segera untuk mendapatkan
kerjasama negara itu supaya tindakan undang-undang Malaysia yang sesuai
boleh diambil terhadap mereka yang terbabit. Najib juga sewajarnya telah
mengarahkan Peguam Negara dan 1MDB segera menuntut wang yang dilapor
dicuri daripada syarikat milik negara.
Nampak benar semua ini
tidak dilakukan oleh Najib. Dia sebaliknya hanya berkata kes ini bukan
kes jenayah tetapi kes sivil dan orang-orang yang dinamakan dalam
laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhak mendapat pembelaan yang
sewajarnya.
Adakah ini sepatutnya respon seorang Perdana Menteri
terhadap kes penemuan sejumlah besar wang yang dicuri daripada sebuah
syarikat pelaburan strategik negara? Adakah pembelaan terhadap individu
yang dituduh terlibat dalam perompakan harta negara lebih penting
berbanding pembelaan terhadap seluruh rakyat yang terpaksa menanggung
beban kehilangan puluhan bilion ringgit wang negara?
Saya
mencabar Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan untuk mengambil
tindakan susulan yang sewajarnya! Saya amat kecewa dengan sikap penafian
yang teruk yang dinyatakan oleh dia dan konco-konconya berkenaan kes
penipuan terbesar yang ditemui oleh pihak kerajaan Amerika itu.
Peguam Negara Malaysia juga tidak menjalankan amanah!
Logikkah apabila
dia berkata tindakan sivil di Amerika Syarikat itu tidak membabitkan
Najib? Siapakah MALAYSIAN OFFICIAL 1 yang difahami oleh Peguam Negara
seperti yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan AS? Jika dia tidak
tahu, tidak bolehkah dia bertanya dengan rakan sejawatnya di Amerika
Syarikat siapakah dia MALAYSIAN OFFICIAL 1?
Disebut dengan terang
dalam laporan Jabatan Keadilan AS, orang ini memiliki sejumlah AS681
juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya di Ambank Malaysia. Yang
kita tahu, tiada orang lain yang dilaporkan mempunyai wang sebanyak itu
dalam akaun peribadi di Ambank selain Najib!
Yang sepatutnya
dibuat oleh Peguam Negara Malaysia bukan melindungi Najib. Dia
sepatutnya terperanjat dengan penemuan pasukan penyiasat AS dan terus
menghantar pasukan penyiasat Malaysia ke AS untuk mengambil tindakan
susulan demi memelihara kepentingan rakyat Malaysia yang telah
kehilangan wang berbilion ringgit.
Beliau juga sepatutnya telah
mengarahkan SPRM dan PDRM membuka semula kertas siasatan terhadap 1MDB.
Bagaimana boleh terjadi pasukan penyiasat negara kita tidak menemui
sebarang bukti kehilangan wang 1MDB, sedangkan pasukan penyiasat negara
asing menemuinya? Bukankah ini sepatutnya memeranjatkan Peguam Negara?
Bukankah perkara ini yang harus diutamakan, bukan melindungi Perdana
Menteri! Nampak benar rakyat Malaysia tidak lagi boleh mengharapkan dia
untuk melindungi kepentingan negara!
Apakah harapan kita untuk
terus percaya dengan Perdana Menteri Malaysia? Tindakannya selama ini
adalah untuk melindungi diri sendiri, bukan melindungi kepentingan
rakyat Malaysia!
Rakyat harus sedar dan bangkit bersuara dengan
berani menuntut mereka yang merompak harta negara dihukum. Seruan agar
rakyat bangun menentang kemungkaran ini hendaklah mengikut lunas
undang-undang secara aman dan tidak semestinya dianggap provokatif.
DYMM Raja-Raja Melayu yang menjadi Payung Negara yang telah pernah
bertindak bertitah sebelum ini sewajarnya tidak boleh membiarkan Perdana
Menteri bermaharajalela merosakkan imej negara dan maruah rakyat serta
memusnahkan khazanah negara. Majlis Raja-Raja boleh bertindak menjadi
benteng terakhir pelindung hak rakyat dan negara! Majlis Raja-Raja tidak
menyalahi mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia atas
semangat Raja-Raja Melayu berbuat sesuatu untuk memelihara kesejahteraan
rakyat dan negara.
Sahlah tindakan dan pendirian saya selama ini
bahawa kes IMDB adalah satu kes penyelewengan yang amat memalukan yang
melibatkan Perdana Menteri. Ia adalah suatu yang sahih dan benar.
Dengan pendedahan yang tidak dapat lagi diselindungi oleh sesiapapun
ini, maka kerajaan Malaysia pimpinan Najib telah mengkhianati Rakyat
Malaysia dan sepatutnya menanggung akibah daripada perbuatan salahlaku
yang amat serius ini! Bukan sahaja ia merupakan kes jenayah dan sivil
yang cukup memalukan, malahan dari segi moral pun Najib sebenarnya tiada
pilihan lain selain meletak jawatan dengan serta merta!
Saya
akan tetap berdiri teguh dengan pendirian saya dan tidak akan
sekali-kali berundur daripada kepercayaan dan keyakinan saya dalam
perjuangan mempertahankan hak dan maruah seluruh rakyat Malaysia!
Marilah kita bersatu hati dan bersama-sama berjuang untuk Selamatkan Malaysia!
Faiza Azamta Fatawakkal AlaLlah!
YB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia
Post a Comment
Gua tidak bertanggungjawab terhadap semua komen mahupun pandangan yang dihantar pembaca atau di cetak semula di blog ini. Hanya komen di ruang komen Intensedebate sahaja yang akan disiarkan.
1) Komen dari Anonymous/Tanpa Nama tidak akan di layan sama sekali.
2) Begitu juga dengan sebarang komen yang berbentuk sensitif, mengikut takrifan gua, akan dipadam.
Jika ada sebarang cadangan, kritikan atau tak puashati secara peribadi dengan gua, sila email ke zergdukes@gmail.com