Di manakah kita...?
>> Sunday, January 31, 2010
Jika bercakap soal parti melayu, semuanya berdegar dengan perlembagaan itu dan ini, memperjuangkan itu dan ini, tetapi penghayatannya tiada. Hanya sekadar catatan atas selembar kertas dengan dakwat berwarna hitam.
Setelah berakhirnya episod ketuanan Melayu bertukar ke era Malaysia, apa yang tinggal kini hanya 1Malaysia. Konsep persepakatan di segi ideologi kepelbagaian kaum pribumi dan budaya agar seiring menerokai segenap peluang sosio-ekonomi memacu ke tahap negara makmur dan rakyat gemilang terus giat dipromosikan.
Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan!!! Sayugianya slogan dan kata-kata keramat saling bertukar-ganti apabila ketua kerajaan bertukar tangan. Peranan NGO dan kuasa eksekutif dalam mencorak-warnakan negara bersimpang-siur dengan kemelut politik dan ekonomi yang kini menjadi isu semasa dan berlanjutan sehingga ke PRU era Dato' Sri Najib pula?
Lumrahnya setiap makhluk dilahirkan berbeza cita-rasa dan punyai impian tersendiri.
Pergolakan yang bermula daripada harga komoditi yang kian naik terasa cengkamannya oleh golongan marhaen, dan isu royalti petroleum hingga kepada nama Allah!!! Perbalahan mengenai isu PPMSI dan kecoh pasal SPRM yang juga termasuk kes kehilangan engin jet menjadi topik perbualan di kalangan rakyat yang prihatin!!! Tiada apa lagi yang ingin diterjemakan melalui tindakan.
Persoalannya ialah semangat kemerdekaan semakin pupus dari dalam diri orang Melayu sendiri, yang ironinya golongan majoriti ini jugalah "juara berkokok" bila menyentuh apa jua isu-isu hangat, hanya sekadar untuk menarik perhatian umum?
Memang ada rasa kesedaran yang menebal namun segala titik-tolak tindakan yang menyusul langsung tidak berkesan. Bayangkan, jika sekadar ingin mendapat permit berdemonstrasi secara aman pun belum tentu lagi mendapat layanan! Bantahan terhadap pemansuhan ISA sudah jadi isu basi dan semakin dilupai 'roh' perjuangannya.
Rakyat secara umumnya hanya menjadi “saksi” dan sebagai “penonton” pada setiap pertikaian berbangkit terhadap permasalahan negara bergantung di atas kebijaksaan peneraju kepimpinan negara.
Bahawa kepercayaan dan rasa hormat sesama manusia sejagat sudah semakin pupus lantaran sifat ego dan hipokrit di antara kalangan pemimpin dan rakyat, kini menjalar pula kepada perebutan kuasa oleh pemimpin politik sendiri demi memperjuangkan demokrasi?
Kegiatan rasuah dan keruntuhan moral masyarakat mulai lapisan terbawah hinggalah kepada golongan elit dan pemimpin politik tetap menjadi “mimpi ngeri” yang mencabar kestabilan politik dan keselamatan negara?
Apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang Melayu (yang mengaku Islam) yang mempunyai Raja Berpelembagaan dan para Mufti di setiap negeri? (Malaysia sebuah negara yang paling ramai Raja dan paling ramai Mufti) yang memungkinkan rakyat Malaysia kini sudah cukup puas berada di dalam zon keselesaan? Maka tak perlu lagi berjuang terhadap keadilan demi kemerdekaan 1Malaysia?
Di dalam situasi bila mana negara sudah aman makmur dan ekonomi stabil , maka kita menikmatinya memadai dengan berpeluk tubuh sahaja? Sedang bangsa lain terus bergerak maju ke hadapan, demi maruah keluarga, demi ke arah menjamin generasi mereka agar cemerlang di segenap bidang.
Sedangkan bangsa melayu masih di buai dengan politik sepanjang masa, Kita semua masih belum terlambat untuk melakukan perubahan setakat yang termampu sebagai bangsa yang bermaruah.
Post a Comment
Gua tidak bertanggungjawab terhadap semua komen mahupun pandangan yang dihantar pembaca atau di cetak semula di blog ini. Hanya komen di ruang komen Intensedebate sahaja yang akan disiarkan.
1) Komen dari Anonymous/Tanpa Nama tidak akan di layan sama sekali.
2) Begitu juga dengan sebarang komen yang berbentuk sensitif, mengikut takrifan gua, akan dipadam.
Jika ada sebarang cadangan, kritikan atau tak puashati secara peribadi dengan gua, sila email ke zergdukes@gmail.com