Jangan Taksub (Fanatik) Mazhab.
>> Sunday, November 10, 2013
Soalan:
Dr Asri, saya membaca buku Fekah as-Sunnah karangan Sayyid Sabiq. Saya
amat tertarik dengan perbahasan buku tersebut yang mengambil kira
pendapat berbagai mazhab. Tapi, kawan saya melarang membaca buku
tersebut. Dia memberitahu saya bahawa pendapat yang tidak
mengikut Mazhab Shafie adalah sesat. Saya keliru, sebab saya juga
diberitahu buku Fekah as-Sunnah diterima di seluruh dunia. Bolehkah Dr
Asri huraikan masalah ini? -
Kamaruzaman, Kuala Selangor.
Jawapan Dr MAZA:
Saudara, wajib bagi kita umat Islam
menghormati imam-imam akidah dan fekah dari semua aliran mazhab Islam
yang muktabar. Sikap menyesatkan aliran mazhab fekah yang lain adalah
sikap fanatik dan melampaui
batas. Merujuk kepada masalah yang dikemukakan, saya tegaskan
perkara-perkara berikut;
1. Kitab Fekah as-Sunnah adalah
rujukan yang baik. Ia ditulis oleh tokoh ilmuwan besar al-Imam Sayyid
Sabiq r.h atas cadangan al-Imam Hasan al-Banna r.h. Tujuan buku tersebut
ditulis antaranya untuk membebaskan
sikap fanatik mazhab yang wujud dalam kalangan umat Islam. Sebab itu
adanya kata aluan Hasan al-Banna pada buku tersebut. Sayyid Sabiq
sendiri menjelaskan tujuan bukunya untuk menghapuskan taksub mazhab dan
khurafat yang menganggap bahawa pintu ijtihad telah
tertutup. Buku ini amat baik untuk bacaan. Ia telah diterjemahkan ke
dalam pelbagai bahasa. Sebahagian hadis dalam buku diberi komentar oleh
al-Albani dalam bukunya Tamam al-Minnah.
2. Bermazhab dalam fekah itu bukan
satu kesalahan. Namun fanatik mazhab adalah menyanggahi syarak.
Imam-imam mazhab yang mulia seperti para imam yang empat dan selain
mereka melarang sikap fanatik mazhab.
Fanatik mazhab dalam ertikata berpegang dengan sesuatu pandangan dalam
masalah fekah secara keras dan enggan melepaskannya sekalipun dirinya
mengetahui bahawa pandangan tersebut salah, atau tidak berasas atau
lemah, atau menyanggahi dalil syarak yang lebih
kuat dan ada pendapat lain yang lebih benar atau kuat.
Prof Dr. Muhammad Raft ‘Uthman menyebut:
“Taksub mazhab adalah sesuatu yang
dibenci dan dilarang di sisi syarak. Ini kerana maksud taksub mazhab
ialah seseorang beriltizam dengan pendapat tertentu dalam masalah syarak
dan enggan berubah, sedangkan
dalam masa yang sama, antara dirinya dengan Allah azza wajalla dia
sedar pendapat tersebut tidak sahih, atau lemah, dan mazhab lain, atau
ahli fekah lain telah memberikan pendapat yang sahih.
Namun dia
meninggalkan pendapat yang sahih tersebut dan mempertahankan
pendapat yang lemah lagi bertentangan dengan yang sahih. Ini sikap yang
dikecam di sisi syarak, kerana seseorang itu wajib beramal dengan apa
yang dia yakin benar dari segi dalil dan kesahihannya. Seseorang tidak
boleh berpegang dengan sesuatu pandangan sedangkan
dia tahu pandangan itu lemah, atau tidak sahih. (lihat: al-Ta’asub
al-Mazhabi Atharuhu ‘Ala al-Mazahib al-Islamiyyah,
http://www.al-forqan.net)
3. Mengikut sesuatu mazhab seperti Mazhab al-Syafi’i atau Hanafi atau
Hanbali atau Maliki selain
mereka dari kalangaan imam-imam yang muktabar bukan satu kesalahan,
namun bukan juga satu kewajipan untuk seseorang menentu diri mesti
sentiasa bermazhab tertentu. Seseorang muslim wajib menghormati para
imam dan juga pandangan-pandang mereka. Namun, kita
dilarang untuk taksub yang menghalang kita untuk meneliti atau memahami
pendapat yang pelbagai dari mazhab-mazhab Islam tersebut.
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Perkara yang penting untuk anda
mengetahuinya bahawa hukum orang awam mengikut salah seorang imam-imam
mazhab ialah harus dengan syarat-syaratnya. Ianya bukan sesuatu yang
wajib seperti yang dikatakan
oleh golongan mutakhir. Ini kerana tiada kewajipan kecuali apa yang
diwajibkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah. Al-Quran dan al-Sunnah tidak
mewajibkan seseorang terikat dengan mazhab. Maka tidak menjadi halangan
untuk seseorang muslim bebas dari terikat dengan
mana-mana mazhab. Dia boleh bertanya berkaitan agamanya kepada sesiapa
sahaja di kalangan ulama.
Tanpa perlu terikat dengan seseorang ilmuan
sahaja tanpa bertanya orang lain. Inilah jalan para sahabah dan sesiapa
yang mengikuti mereka dengan cara yang baik
pada zaman sebaik-baik kurun. Allah telah selamatkan mereka dari taklid
yang dicerca ini. Sebaik-baik manusia untuk bebas dari terikat dengan
mazhab ialah sesiapa yang baru menganut Islam. Maka tiada kepentingan
mewajibkannya apa yang tidak diwajibkan Allah
ta’ala. Dia boleh bertanya sesiapa sahaja dari kalangan ulama yang dia
mahu. Wajib ditulis untuk mereka buku-buku fekah yang memudahkan tanpa
terikat dengan mazhab tertentu”.( Al-Qaradawi: Dr Yusuf, Kaif Nata’amal
Ma’ al-Turath, m.s. 83-84, Kaherah: Maktab
Wahbah).
4. Beraliran mazhab tertentu seperti
orang Malaysia beraliran Mazhab al-Syafi’i, Pakistan beraliran Hanafi,
Morocco beraliran Maliki dan Saudi beraliran Hanbali, tidak menjadi
masalah. Namun yang menjadi
masalah keengganan untuk akur kepada dalil yang diyakini dan sikap
sudah menuduh orang yang beraliran lain sebagai sesat. Dr Wahbah
al-Zuhaili dalam bukunya Al-Rukhas al-Syar’iyyah meletakkan satu tajuk:
Adakah beriltizam dengan mazhab tertentu perkara yang
dituntut syarak?.
Beliau menyebut tiga pendapat. Namun
beliau telah mentarjihkan (memilih) pendapat yang menyatakan tidak
wajib. Kata beliau: “Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada
imam tertentu dalam semua masalah
atau kejadian yang berlaku. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid
kepada mana-mana mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan
mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau
selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh
untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib
melainkan apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya
tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan mazhab imam tertentu.
Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ulama, tanpa
dihadkan hanya tokoh tertentu, dan bukan yang lain.
Firman Allah: (maksudnya): “Maka
bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikr jika kamu tidak mengetahui.” Ini
kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan tabi’in tidak
terikat dengan mazhab tertentu.
Bahkan mereka bertanya sesiapa sahaja yang mampu tanpa terikat dengan
hanya seorang sahaja.
Maka ini adalah ijmak (kesepakatan)
dari mereka bahawa tidak wajib mengikut hanya seseorang imam, atau
mengikut mazhab tertentu dalam semua masalah. Kemudian, pendapat yang
mewajibkan beriltizam dengan
mazhab tertentu membawa kepada kesusahan dan kesempitan, sedangkan
mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling
kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh.
Maka jelas dari pendapat ini, bahawa
yang paling sahih dan rajih di sisi Ulama Usul al-Fiqh adalah tidak
wajib beriltizam dengan mazhab tertentu. Harus menyanggahi imam mazhab
yang dipegang dan mengambil
pendapat imam yang lain. Ini kerana beriltizam dengan mazhab bukan
suatu kewajipan seperti yang dijelaskan. Berdasarkan ini, maka pada
asasnya tidak menjadi halangan sama sekali pada zaman ini untuk memilih
hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh mazhab-mazhab
yang berbeza tanpa terikat dengan keseluruhan mazhab atau
pendetilannya”. (Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar’iyyah, m.s.
17-19, Beirut: Dar al-Khair).
5. Maka, elakkanlah fanatik mazhab.
Dalam masa yang sama kita menghormati para imam mazhab atas limpahan
kesarjanaan mereka. Dr al-Qaradawi menjelaskan:
“Kebebasan kita dari sikap keras dalam
bertaklid dan taksub mazhab tertentu tidak bermaksud kita mencerca
mazhab-mazhab, atau menghina kedudukan para imam r.ahum. Ini tidak
mungkin untuk dilakukan oleh
seorang muslim yang mencium haruman ilmu. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah
telah mengarang kitab yang bernilai lagi masyur mengenai hal ini.
Beliau namakan Raf’u al-Malam ‘an al-Immah al-A’lam yang mana
diterangkan dalamnya keuzuran buat para imam apabila mereka
meninggalkan hadis.
Beliau menjelaskan bahawa tiada seorang pun dalam
kalangan mereka yang sengaja menyanggahi RasululLah s.a.w., atau cuba
berpaling dari sunnah baginda yang thabit…Namun yang kita maksudkan
kebebasan dari mazhab ialah: seorang ahli fekah
tidak mengikat dirinya dengan ikatan yang tidak diwajibkan oleh Allah
dan RasulNya. Maka dia hendaklah mengambil pandangan dari mana-mana
mazhab sekalipun, yang didapati lebih kuat hujahnya berdasarkan
penilaian syarak”. (Al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim
al-Mu’asir, m.s. 36).
Post a Comment
Gua tidak bertanggungjawab terhadap semua komen mahupun pandangan yang dihantar pembaca atau di cetak semula di blog ini. Hanya komen di ruang komen Intensedebate sahaja yang akan disiarkan.
1) Komen dari Anonymous/Tanpa Nama tidak akan di layan sama sekali.
2) Begitu juga dengan sebarang komen yang berbentuk sensitif, mengikut takrifan gua, akan dipadam.
Jika ada sebarang cadangan, kritikan atau tak puashati secara peribadi dengan gua, sila email ke zergdukes@gmail.com