Masih Adakah Anak Sebegini..???
>> Monday, October 25, 2010
"Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum, Assalamu'alaikum" selagi salam tidak dijawab dan tuan rumah tidak menjengukkan muka selagi itu ucapan salam akan terus diberikan.
Ucapan salam setiap pagi hari minggu untuk tuan rumah di sepanjang jalan di kawasan perumahan kami.
"Wa'alaikummussalam" menjengukkan wajah ke luar tanpa perlu tahu siapa tuan punya suara, kerana sudah tahu benar siapa yang memberikan salam tersebut.
"Cik, cik, nak beli nasi lemak tak, kuih pun ada" sapa anak kecil berumur sekitar 12 tahun dengan lemah lembut dan penuh sopan santun.
Hati dan renungan mata siapa sahaja pasti tidak akan sanggup untuk menolak jualan anak muda ini.
Kadangkala memang cuba juga untuk mendiamkan diri di dalam rumah kerana tidak mahu membeli nasi lemak kerana sudah ada cadangan untuk memasak atau memang sudah ada makanan sarapan terhidang atas meja di dapur.
Ada sekali pernah juga jualannya aku tolak, namun hati meronta terasa bersalah. Suatu pagi ketika aku baru tiba di rumah, anak muda ini baru selesai menjual makanannya dan melalui di hadapan rumah kami.
Ketika aku bersusah payah hendak mengeluarkan barangan dari dalam kereta dan membawa masuk ke dalam rumah, dengan sopan santun anak muda ini menyapaku.
"Cik, biar saya tolong cik angkat barangan ni cik" lemah lembut dan penuh sopan santun lagi menyapa aku.
"Ah, tak apalah dik, makcik boleh buat sendiri" dalam hati teringat peristiwa aku pernah menolak jualannya dan mata melirik melihat jualan di dalam bakulnya yang sudah kosong. Alhamdulillah, seringkali jualan habis dan laku.
"Tak pe, tak pe cik, saya boleh tolong" tanpa berlengah mengangkat beg dan membawanya masuk ke dalam pagar rumah ku.
Dalam hati berdetik terus, " baik betul anak ini, sopan santun dan rajin sekali".
Sukar lagi untuk terjumpa anak-anak sebayanya yang melakukan pekerjaan yang sedemikian, bersusah payah membantu keluarga dan memiliki peribadi yang sungguh mulia.
Siapakah ibu dan ayahnya, pasti sejuk perut ibu yang mengandung dan tenang walau hidup dalam kepayahan.
Sejak dari itu pasti aku tidak akan melepaskan peluang untuk membeli hasil jualannya walau sudah ada makanan yang terhidang di atas meja.
"Cik, nak beli nasi lemak?"
"Kuih ada?"
"Ada, karipap dengan donut"
"Ok, bagi makcik nasi lemak 5"
"Terima kasih makcik"
Nasi lemak RM 1, berbaloi dan kenyang perut menjamahnya. Alhamdulillah. Moga masih ramai anak-anak yang dibesarkan oleh kita, ibu-ibu dan ayah-ayah terus berperibadi mulia dan sedar akan tanggungjawab sebagai hamba dan Khalifah di bumi Allah.
sumber Ummu Asiah.
1 IkutSukaLu...::
-Gertakan Jiwa Tempur-
Kalau aku salahkan UMNO tentang kebengapan anak muda Malaysia, tentu aku akan diletakkan label.
Post a Comment